Wednesday, July 02, 2008

Garis Tengah Dalam Kemelut Politik Negara


QS. 49:6: Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.

QS. 24:15: (Ingatlah) di waktu kamu menerima berita bohong itu dari mulut ke mulut dan kamu katakan dengan mulutmu apa yang tidak kamu ketahui sedikit juga, dan kamu menganggapnya suatu yang ringan saja. Padahal dia pada sisi Allah adalah besar.

QS. 24:11: Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita bohong itu adalah dari golongan kamu juga. Janganlah kamu kira bahwa berita bohong itu buruk bagi kamu bahkan ia adalah baik bagi kamu. Tiap-tiap seseorang dari mereka mendapat balasan dari dosa yang dikerjakannya. Dan siapa di antara mereka yang mengambil bahagian yang terbesar dalam penyiaran berita bohong itu baginya azab yang besar.

QS. 2:282: Dan persaksikanlah dengan dua orang saksi dari orang-orang lelaki (di antaramu). Jika tak ada dua oang lelaki, maka (boleh) seorang lelaki dan dua orang perempuan dari saksi-saksi yang kamu ridhai, supaya jika seorang lupa maka yang seorang mengingatkannya. Janganlah saksi-saksi itu enggan (memberi keterangan) apabila mereka dipanggil.
GARIS TENGAH

Mencari garis tengah dalam kemelut polemik poltik negara masa ini sangat-sangat mencemaskan. Selepas 8 Mac yang lalu, pelbagai bentuk cerita dan berita kita dengar.

Bagi mereka yang prihatin, cerita dan berita tidak hanya bertandang sekadar sepicing sahaja di telinga. Analisis rambang dan separa menyeluruh diberi tumpuan agar cerita dan berita yang diterima ada asas mudah untuk diyakini.

Di kalangan pengiat politik, soal prinsip dan pegangan akan menjadi pertaruhan dalam setiap strategi politik mereka. Bagi Parti Islam Se-Malaysia (PAS), dengan pengukuhan asuhan siasah yang mantap secara langsung di bangku kampus, politician PAS meletakkan Islam sebagai matlamat akhir strategi politik.

Dalam situasi ini, dengan berlandaskan Syirah Nabawiyah dan petunjuk Al-Quran dan Hadith, orientasi politik politician PAS sebenarnya sangat mudah diterjemahkan. Tidak ada seni rumit dalam strategi yang dilakarkan. Segala yang diterjemahkan jelas berlandaskan kepada sumber yang sudah terbukti.

POLITIK MEMUALKAN

Pada masa yang sama, ada beberapa kalangan pengiat politik yang mengambil prinsip asimilasi sosialis, komunis, autokrasi, demokrasi dan pelbagai cabang anutan politik sebagai asas dalam menjayakan cita-cita besar politik mereka.

Prinsip ciptaan dan gubahan pelbagai watak begini, sentiasa penuh dengan hipotesis dan akhirnya menzahirkan konklusi yang tidak memberikan kejayaan yang mengesankan.

Keputusan akhir dalam pendekatan begini akan mendatangkan rasa mual, jelik, dan meluat.

Keseronokan 8 Mac akan menjadi mimpi malang jika kemelut politik sebegini tidak ditangani dengan baik.

Cita-cita besar politik, wajib seiring dengan prinsip dan latar perjuangan Rakyat untuk mengembalikan hak dan kesenangan Rakyat.

Bagi saya ...

Setelah melihat secara rambang, saya melihat keperluan pihak ketiga untuk menjadi kuasa penentu dalam kerancakan politikus menagih kuasa.

Third Force akan menjadi asas untuk rakyat menilai dan memberi signal bahawa begini yang dimahukan rakyat, bukan begitu.

Third Force akan menjadi proactive observer untuk rakyat memberi keputusan bahawa ini yang sepatutnya berlaku, bukan itu.

Third Force akan menjadi 'suara rakyat suara keramat', supaya rakyat terbanyak diberi peranan agar hak serta kesenangan mereka dipenuhi.

Dalam situasi begini, garis tengah untuk mewujudkan Third Force ini ada pada suara Mahasiswa dan Mahasiswi kampus, intelek muda di persada pengajian tinggi negara dan ulama muda yang yakin pada praktis ilmu dilapangan.

Jujurnya, semakin sayang saya pada situasi politik negara, semakin jauh saya rasa daripada arena landasan sebuah negara berkebajikan. Seperti jelas direncanakan oleh Marina Mahathir hari ini.

Friday, June 20, 2008

Good News.

Thursday, June 19, 2008

Pakatan Rakyat (1) - Barisan Nasional (0)

Jam menunjukkan pukul 8.15 pagi. Jalan Sultan Ismail menuju ke KLCC masih lagi lancar. Tiada hiruk pikuk seperti selalunya. Tiada Polis trafik yang mengarah kenderaan dari Jalan Tunku Abdul Rahman.Trafik juga bergerak dengan cukup lancar menghala ke Jalan Raja Laut.

Seperti selalunya, Bernama Radio menjadi peneman sulung dalam setiap perjalanan ke pejabat atau tempat kerja. Berita pagi ini amat bermakna memandangkan kelmarin, Presiden SAPP telah mengeluarkan kenyataan bahawa Ahli Parlimen SAPP akan menyokong undi tidak percaya kepada Abdullah Ahmad Badawi.

Huraian Bernama Radio pagi ini turut menjadi perhatian. Dengan perkhabaran bahawa Ketua Penerangan UMNO, Muhammad Son of Muhammad berada di talian, butir bicara Ketua Penerangan UMNO ini dihalusi perkataan demi perkataan.

Apabila pemberita bersoal-jawab berkenaan kenyataan SAPP tersebut, Muhammad Son of Muhammad dengan yakin berkata bahawa tindakan Presiden SAPP tersebut hanya mendalamkan lagi kejatuhan Barisan Nasional.

Walaupun bunyi rentak bahasanya samar dan kedengaran seperti orang yang tidak bijak berbahasa Melayu, frasa mendalamkan lagi kejatuhan Barisan Nasional memberi makna yang cukup-cukup mendalam.

Ya, Barisan Nasional melalui Muhammad Son of Muhammad telah mengakui kejatuhan Barisan Nasional itu sendiri!

Berita ini cukup menarik dan sudah pasti Pakatan Rakyat di hadapan sekarang mendahului Barisan Nasional. Skornya mungkin 1-0 .

Cepat Melatah

Memerhatikan kenyataan-kenyataan pemimpin Barisan Nasional amat memualkan. Ada yang berbicara soal-soal perjuangan bangsa, padahal kelompok inilah yang mendahului pencuri merompak hak rakyat.

"Datuk Datuk Yong Teck Lee hanya mementingkan diri sendiri. Perjuangannya hanya untuk diri sendiri, bukan untuk berjuang untuk rakyat." Antara kenyataan awal yang kedengaran.

Dalam menghadapi situasi ini, Abdullah Ahmad Badawi kelihatan terdesak,seperti terperosok di satu sudut gelanggang politik. Abdullah Ahmad Badawi juga melatah dengan tindakan Presiden SAPP ini.

Langkah sepatutnya adalah menilai dan memberi gambaran betapa kenyataan Presiden SAPP itu perlu di ambil perhatian oleh setiap komponen Barisan Nasional.

Abdullah Ahmad Badawi juga perlu memperlihatkan bahawa, walaupun Presiden SAPP itu sudah berkokok mahu ke gelanggang, dia masih dalam kawalan dan pengaruh Barisan Nasional.

Kenyataan-kenyataan keras yang seolah 'membunuh' karier politik Presiden SAPP sebenarnya hanya menambahkan lagi luka Abdullah Ahmad Badawi yang semakin parah. Malah, mungkin mendalamkan lagi kedalaman kejatuhan Barisan Nasional, mengikut kata Muhammad Son of Muhammad.

Jika Abdullah Ahmad Badawi menunjukkan sikap agresif dalam kelembutan politiknya, nescaya massa (baca : media Malaysia) akan memberi gambaran bahawa kenyataan Presiden SAPP hanyalah kenyataan peribadi yang masih bersetuju dengan dasar Barisan Nasional.

masih mencari jika ada 'printed statement' yang dikeluarkan oleh Bernama hasil temubual dengan Muhammad Son of Muhammad pagi ini.